Adakah telanjang lebih baik daripada bertudung? – Komen Sinis Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

KUALA LUMPUR – Keputusan segelintir pemilik hotel melarang pekerja wanitanya memakai tudung disifatkan sebagai suatu tindakan kurang ajar dan tidak bertanggungjawab, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Nazri yang berang dengan tindakan tersebut turut mengingatkan pemilik hotel yang menjalankan perniagaan di negara ini supaya menghormati undang-undang tubuh negara Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi.

Tambah Nazri, arahan hotel bertaraf antarabangsa melarang pekerja wanita Islam memakai tudung adalah bertentangan dengan dasar hak asasi manusia yang selalu dilaungkan mereka.

“Saya tidak fikir syarikat antarabangsa yang mengamalkan hak asasi manusia, termaktub dalam perlembagaan syarikat mereka melarang memakai tudung.

“Syarikat besar ini sememangnya syarikat yang kuat menekankan kualiti dan human right. Saya tidak fikir mereka kenakan syarat sedemikian dan saya tidak percaya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Pra Pelancaran Festival Kraf Antarabangsa Kuala Lumpur (KLICF) 2017, di bangunan Parlimen hari ini.

Dalam masa sama, Nazri turut memberi amaran kepada mana-mana individu warganegara Malaysia yang sengaja mewujudkan larangan tersebut di hotel-hotel dalam negara ini.

“Jadi, pada saya kalau sesiapa yang nak pertahankan sebagai SOP, dia memang kurang ajar. Adakah kalau telanjang dan bogel lebih baik dari bertudung. Kalau rakyat Malaysia nak pertahankan, dia memang kurang ajar,” kata Ahli Parlimen Padang Rengas itu.

Bagaimanapun menurut Nazri kementeriannya belum mendapat sebarang aduan mengenai perkara tersebut.

“Kita tidak pernah terima lagi aduan. Kementerian kita hanya beri ranking dan rating pada hotel sahaja dan tidak berdasarkan pakaian. Mungkin ini di bawah kuasa pihak berkuasa tempatan atau kementerian yang berkaitan dengan isu tersebut,” jelasnya.

Terdahulu, media melaporkan beberapa rangkaian hotel antarabangsa di negara ini telah menetapkan syarat larangan memakai tudung kepada pekerja wanita muslim di hotel mereka.

Persatuan Hotel Malaysia (MAH) bagaimanapun mempertahankan tindakan hotel itu atas alasan ia adalah sebahagian daripada dasar antarabangsa.-MalaysiaGazette

SUMBER : http://malaysiagazette.com/v2/blog/2017/11/14/adakah-telanjang-lebih-baik-daripada-bertudung-nazri/

Sebelum ini PPIM juga ada mengeluarkan kenyataan berkenaan isu perkerja tidak dibenarkan memakai tudung di HOTEL

“Saya cadangkan kita (pengguna) senarai hitamkan nama hotel-hotel yang tidak tahu menghormati umat Islam dan tidak patuh syariah kemudian viralkan (tular) supaya semua saudara Islam tahu dan jangan lagi pergi ke hotel-hotel yang membenci umat Islam di negara ini,” demikian menurut Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Menurutnya, zaman ini pengguna seharusnya bijak membuat pilihan tanpa mengharapkan kerajaan semata-mata. “Kita menyeru kepada kesepakatan para pengguna Islam untuk melindungi diri mereka daripada dilihat sebagai keadaan dalam diskriminasi,” katanya. Beliau berkata, “Sudah tiba masanya pengguna menyedari kuasa yang ada pada mereka dan menggunakannya tanpa rasa tertekan bagi menghapuskan diskriminasi ini, sebaliknya biarkan pengusaha pula yang merasa tertekan akibat dari perbuatan mereka itu.”

 

Datuk Nadzim Johan berkata, Malaysia mengamalkan Perlembagaan yang berpandukan agama Islam sebagai Agama Persekutuan, jadi sesiapa pun yang tinggal di negara ini mesti mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan. “Polisi atau SOP hotel itu soal kedua, yang penting Perlembagaan (Persekutuan) perlu dipatuhi terlebih dahulu,” tegasnya.

Menurutnya, jika dilihat di negara China, Amerika mahupun Iran misalnya, mereka juga mempunyai perlembagaan masing-masing bahkan di mana-mana negara di dunia ini mengikut perlembagaan tertentu yang ditetapkan negara berkenaan. “Kalau mereka tidak ikut undang-undang yang ditetapkan, pengguna pun janganlah ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’, cari sahajalah hotel yang lain.”

Soal beliau, “Mengapa penguat kuasa tidak boleh bertegas?”

Beliau mengesa, “Pekerja hotel-hotel yang dinafikan hak mereka untuk mengamalkan ajaran Islam di negara ini dengan alasan SOP dan polisi hotel supaya menegakkan pendirian dan tegas selain membuat laporan kepada pihak berkuasa ke atas majikan yang tidak bertanggungjawab itu,” katanya. Menurutnya, majlis-majlis bufet kerajaan juga perlu bersepakat untuk memboikot dan tidak mengadakan lagi majlis di hotel-hotel yang tidak tahu menghormati Islam sebagai Agama Persekutuan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *