Akhirnya Datuk Siti Nurhaliza Respond Berkenaan Isu Yang Tular Tentang Dia Sudah Bersalin

KUALA LUMPUR: “Belum… Belum bersalin lagi… Jangan buat khabar angin. Elok melawa dan tersenyum lagi ni…”

Demikian kata pengurus penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Rozi Abdul Razak, di laman sosial Instagramnya sebentar tadi.

Kenyataannya itu turut disertakan dengan sekeping gambar dirinya bersama artis popular terbabit.

Menerusi perkongsian berkenaan juga, jelas Rozi, Siti masih sibuk menyelesaikan beberapa urusan bersamanya.

Ketika ini, peminat dan netizen sememangnya tidak sabar menunggu kelahiran bayi sulung penyanyi Biarlah Rahsia itu. Apatah lagi, Siti sendiri dijangka melahirkan cahaya pertamanya, hasil perkongsian hidup dengan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, dalam masa terdekat.

Malah, Rozi sempat berkongsi pengalamannya yang masih menguruskan penyanyi itu, sehari sebelum beliau bersalin.

“Masih juga sempat melapangkan waktu menyelesaikan beberapa tugasan. Saya dulu (ketika) uruskan @ctdk, esok nak bersalin, hari ini masih bekerja keras.

“Siap masak nasi minyak dan menjamu rakan-rakan sekerja lagi sebab nanti akan lama berpantang, tak boleh makan macam-macam,” katanya.

Sementara itu, rata-rata peminat Siti mendoakan proses bersalin penyanyi pujaan ramai berkenaan dipermudahkan.

Pada 5 Mac lalu, BH Online melaporkan, Siti, 39, memilih untuk melahirkan bayi sulungnya dalam tempoh dua minggu lagi menerusi pembedahan.

Katanya, pemilihan kaedah bersalin secara pembedahan dibuat atas nasihat pakar perbidanan yang merawatnya.

SUMBER : BHARIAN ONLINE

Siti bakal lahir anak secara pembedahan, Kenapa?

Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza, memilih untuk melahirkan bayi sulungnya dalam tempoh dua minggu lagi menerusi pembedahan Caesarean.

Mengakui berdebar menantikan saat itu, Siti, 39, berkata pemilihan kaedah bersalin secara pembedahan juga dibuat atas nasihat pakar perbidanan yang merawatnya.

“Menurut doktor di tempat Siti menjalani rawatan kesuburan, selain faktor usia Siti sendiri, bayi yang dikandung menggunakan kaedah ‘In Vitro Fertilization (IVF)’ biasanya dilahirkan secara pembedahan.

“Bagaimanapun, ada juga kes sebegitu menyaksikan kelahiran secara normal. Siti ikut saja apa nasihat doktor, selain mempersiapkan diri dari segi fizikal dan mental. Apapun caranya, harapan Siti proses kelahiran dipermudahkan,” katanya kepada BH Online.

Ditanya mengenai persiapan menyambut si kecil, penyanyi yang baru saja muncul dengan single Comel Pipi Merah ini berkata, segala-galanya sudah tersedia.

Ketika ini, jelasnya, beliau dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, hanya membilang hari menantikan kehadiran orang baharu dalam keluarga mereka.

“Suamilah insan paling teruja membuat persediaan, terutama dari segi hiasan bilik bayi. Lif pun sudah siap dan ia dibina bukanlah bagi kegunaan Siti saja, tetapi untuk orang lain juga seperti ibu serta ibu mentua,” katanya.

Mengulas kemunculan single terbarunya pula, pemenang Anugerah Seri Perak, Anugerah Bintang Popular BH 2011 ini berkata, Mac dipilih sebagai detik pelancaran lagu berkenaan sejajar dengan tarikh beliau bakal bergelar ibu.

“Sekurang-kurangnya, ada juga kenangan untuk Siti dan bayi pada kemudian hari. Ia juga ibarat serampang dua mata kerana lagu berkenaan diharap dapat mengubat rindu peminat sepanjang tempoh Siti berpantang nanti,” katanya.

Lagu ciptaan Siti dan lirik oleh Rozi Sangdewi itu juga boleh didapati di semua platform digital mulai hari ini.

SUMBER : BHARIAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *