Meletop Lagi !! Lepas SRK, Humood Alkhudher ‘Kun Anta’ Pula Layan Kak Girl

 

 

PETALING JAYA: Belum lagi hilang kejutan selepas videonya mendapat respon daripada bintang Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan (SRK) minggu lalu, personaliti ini teruja pula dengan sambutan daripada seorang penyanyi terkenal dari Kuwait.

Kali ini, videonya melakukan aksi gerak bibir atau ‘lip sync’ sambil menari di dalam kereta, dengan memetik lagu ‘Kun Anta’ nyanyian Humood AlKhudher.

Penangan ‘Kun Anta’ pernah mencetuskan fenomena dua tahun lalu, apabila video penyanyi itu dikongsi hampir seluruh dunia di laman sosial, selain ramai peminat Malaysia melakukan rakaman semula lagu tersebut menerusi aplikasi Dubsmash.

“Saya menyukai video ini! Dan saya menyukai gaya dia yang langsung tidak menunjukkan ekspresi wajah!,” kata Humood di Instagramnya dengan berkongsi video aksi lincah Nur Amira Maslan, sambil merujuk ekspresi tersebut kepada gaya suaminya yang bersahaja.

Lebih dikenali sebagai ‘Kak Girl’, penyampai radio Best FM ini terharu dengan sambutan yang diberikan oleh Humood terhadap videonya.

Minggu lalu, video Nur Amira yang memetik lagu Bole Chudiyan daripada filem Khabi Kushi Khabie Gham yang dibintangi SRK, mendapat respon Raja Bollywood itu di Twitter.

“Masa SRK ‘retweet’ (ulang kicau) video saya, rasa macam nak pengsan sebab memang tak sangka. Tambahan pulak saya minat sangat dengan SRK. Ia satu penghormatan buat saya.

“Tak lama lepas tu video Kun Anta yang saya ‘lip sync’ pula dikongsi Humood di Instagram. Alhamdulillah. Sangat terharu! Kelakar pun ada sebab macam tak percaya dapat perhatian kedua-duanya dalam masa singkat,” katanya kepada mStar Online.

Menurut Nur Amira, reaksi suami yang berdiam diri tanpa menunjukkan sebarang ekspresi muka turut menambahkan humor dalam video tersebut.

“Sebab tu mereka pun bertanya, kenapa lelaki itu (suami) boleh berdiam saja, selamba macam tak ada apa-apa.

“Ternyata reaksi diam suami penambah tarikan yang membuatkan dua selebriti antarabangsa ini turut terhibur,” katanya.

Bagaimanapun, dia tidak kisah sekiranya tarikan videonya selama ini dibayangi gaya spontan suami.

“Saya ada jugak cakap, amboi ‘overshadowed’ ya. Dia ketawa saja. Tapi saya tiada masalah pun. Rasa kelakar juga sebab reaksi suami yang diam tu pun dapat perhatian,” kata Nur Amira sambil menambah bercadang untuk membuat video baharu memetik lagu-lagu bintang pop, Beyonce.

 

SRK ‘Intai’ Kak Girl

PETALING JAYA: Ibarat mimpi jadi kenyataan apabila bintang pujaan hati menyedari kewujudan peminatnya, lebih-lebih lagi apabila mendapat pujian atas bakat yang dimilikinya.

Begitulah perasaan Nur Amira Maslan yang lebih dikenali sebagai ‘Kak Girl Sebenar’ oleh pengikutnya di Instagram dan Facebook.

Apa tidaknya, Raja Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan (SRK) bukan sahaja terhibur dengan gelagat Nur Amira yang menyanyikan lagu hindi secara lip-sync, malahan tertarik dengan aksi suaminya yang bersahaja ketika dia asyik menari di dalam kereta.

Terdahulu, pengguna Twitter, Asad Khan memuat naik video tarian dan nyanyian Nur Amira Maslan dan memetik (tag) nama SRK dan penerbit, Karan Johar pada malam Selasa.

Bintang tersebut memberi reaksi kepada posting berkenaan beberapa jam kemudian dan berkata: “Wow! Dan lelaki budiman itu buat tidak tahu sahaja.”

Lagu tersebut dipetik daripada klip lagu Bole Chudiyan daripada filem Khabi Kushi Khabie Gham yang dibintangi SRK.

Setakat ini, tweet SRK itu telah menerima 11,309 likes dan 3,741 ulang kicau (retweet).
Sementara itu, Nur Amira ketika dihubungi mStar Online pada petang Rabu berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan mengenai perkara itu oleh peminatnya melalui Facebook.

“Saya sedang bertugas di konti dan terus menghubungi suami untuk berkongsi berita gembira itu.
“Seperti yang anda lihat di video itu, suami saya masih tiada perasaan dan ‘cool’ sahaja,” katanya yang ditawarkan menjadi seorang penyampai radio sejak dua bulan lalu setelah videonya tular di laman sosial.

Tambah wanita yang berasal dari Johor Bahru itu, suaminya sempat mengusik dan berkata pujian tersebut bukan ditujukan kepadanya.

Bagaimanapun, Nur Amira tetap berbangga kerana akhirnya bintang kegilaan ramai itu turut terhibur menyaksikan gelagatnya menari tarian Bollywood.

Sebelum ini, siri video parodi seorang wanita yang melakukan aksi lip sync sambil menari di dalam kereta yang dipandu suaminya tular di media sosial pada Jun lalu.

Ramai yang terhibur dengan gelagatnya bersahaja dan melucukan, tidak kurang juga turut mendapat kecaman netizen kerana aksi gedik dan dianggap keterlaluan.

Kata Nur Amira, apa yang dilihat netizen di dalam video adalah dirinya yang sebenar.

Sumber: MSTAR

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *